Kuala Lumpur, 29 Oktober – Seramai 6,000 orang berhimpun di Bandar Sunway, Subang Jaya hari ini untuk menyertai ‘Sunway: The Good Run’ yang berjaya mengumpulkan RM200,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Cancerlink.
Larian amal anjuran Sunway Property dan Sunway Medical Centre itu dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya dan RapidKL, jenama perkhidmatan oleh Prasarana Malaysia Berhad.
Pengarah Urusan Sunway Property (Malaysia dan Singapura) Sarena Cheah berkata larian amal itu bertujuan mempromosikan cara hidup sihat dan pada masa yang sama mengumpulkan dana bagi tujuan amal.
“Sunway adalah berkait rapat dengan kehidupan sihat dan kami berharap semua di sini hari ini berpeluang mengalaminya secara langsung cara hidup sihat semasa tinggal, belajar dan bekerja,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah.
Larian itu terbahagi kepada dua acara iaitu larian sejauh 15km dan 5km.
Sumber: Bernama
Foto ihsan: Chan WK % Sunway The Good Run