Home / Berita Terkini / MBSJ Sasar 4,500 Peserta Bagi Subang Jaya Half Marathon 2026

MBSJ Sasar 4,500 Peserta Bagi Subang Jaya Half Marathon 2026

SUBANG JAYA, 11 Disember 2025 – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Subang Jaya Half Marathon (SJHM) 2026 menerusi Majlis Penyerahan Tajaan dan Sidang Media yang berlangsung dengan sokongan padu daripada pelbagai rakan strategik. Acara berprestij ini dianjurkan bersama Puncak Ventures SRA Sdn. Bhd. dan Persatuan Olahraga Para Selangor, dengan matlamat memperkukuh gaya hidup sihat, semangat kesukanan serta perpaduan komuniti bandar raya.

SJHM 2026 dijadualkan berlangsung pada 8 Februari 2026 di Arena MBSJ, Subang Jaya. Edisi kali ini akan mempertandingkan kategori 21KM, 10KM dan 5KM merangkumi kelas terbuka lelaki dan wanita, senior, serta kategori khas termasuk OSC Fun Run dan Berkerusi Roda. Penganjur mensasarkan penyertaan seramai 4,500 pelari, meningkat daripada 3,109 peserta pada tahun 2025. Jumlah hadiah keseluruhan turut digandakan kepada RM40,200, meliputi hadiah wang tunai mengikut kategori serta cabutan bertuah.

Pusat Membeli-Belah Summit USJ dipilih sebagai lokasi rasmi pengambilan kit larian pada 6 dan 7 Februari 2026, bertempat di ruang legar pusat membeli-belah tersebut. Sementara itu, Orthopaedic Specialist Center (OSC) tampil sebagai penaja utama bagi kategori 5KM, meneruskan komitmen terhadap mobiliti, kesihatan sendi dan kesejahteraan masyarakat. Sejak 2020, OSC konsisten memperkasa perkhidmatan ortopedik di Malaysia melalui pendekatan komuniti dan rawatan berkualiti serta kos efektif.

Selain OSC, barisan penaja lain turut menyokong penganjuran SJHM 2026 termasuk VRTIC sebagai pakaian rasmi, 100PLUS sebagai minuman rasmi, Summit USJ Mall sebagai rakan lokasi, N8 Sports Nutrition sebagai rakan nutrisi, Pacemakers Malaysia sebagai pacer, serta jenama lain seperti RULe, MAMEE-Double Decker, Titijaya Land Berhad dan W Spine Chiropractic & Physiotherapy Center.

MBSJ merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan strategik atas sokongan yang diberikan. Penganjuran SJHM 2026 diharap dapat terus memperkukuh imej Subang Jaya sebagai bandar raya progresif, inklusif dan kondusif, selain menekankan kesejahteraan masyarakat.

Pendaftaran kini dibuka melalui laman rasmi www.racexasia.com, dengan orang ramai dijemput menyertai acara ini sebagai platform untuk beriadah, mengamalkan gaya hidup sihat dan menyokong usaha MBSJ dalam merealisasikan SDG 3: Good Health and Well Being serta SDG 11: Sustainable Cities and Communities.

Kredit foto: https://actionpixmalaysia.com/

Check Also

Xtep Buka Kedai Flagship Pertama di Malaysia Melalui Kerjasama Bonia

Share this on WhatsApp Kuala Lumpur, 16 Disember 2025 – Bonia Corporation Berhad bersama rakan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!