Home / Berita Terkini / Standard Chartered Singapore Marathon™ (SCSM) 2025: Abel Boniface Sikowo & Shuko Genemo Muncul Juara

Standard Chartered Singapore Marathon™ (SCSM) 2025: Abel Boniface Sikowo & Shuko Genemo Muncul Juara

Abel Boniface Sikowo – Juara Marathon Elite

SINGAPURA, 7 Disember 2025 – Standard Chartered Singapore Marathon™ (SCSM) 2025 menutup tirai hujung minggu dengan pencapaian bersejarah, seiring dengan tagline tahun ini, “Make That Finish Line Yours”. Bermula seawal jam 4.30 pagi, ribuan pelari dalam kategori 10km, Marathon dan Ekiden membanjiri jalan raya Singapura, mengejar rekod peribadi dan mempamerkan semangat juang luar biasa.

Format dua hari tahun ini memperkenalkan Double Up Challenge, membolehkan peserta menyertai Half Marathon dan Marathon secara berturut-turut. Antara yang mencuri perhatian ialah atlet terkenal Soh Rui Yong, yang mencatat sejarah sebagai juara berganda pertama dengan kemenangan dalam kedua-dua kategori. Hampir 850 pelari menyahut cabaran stamina ini dengan menyertai pelbagai kombinasi dua kategori sepanjang hujung minggu.

Sebagai satu-satunya acara World Athletics Gold Label di Asia Tenggara, SCSM 2025 menarik lebih 55,000 pelari dalam tempoh dua hari, termasuk 14,000 peserta antarabangsa dari 80 negara. Ini mengukuhkan statusnya sebagai acara larian utama rantau ini dan salah satu sorotan penting dalam kalendar sukan tempatan serta global.

Hari terakhir menyaksikan flag-off Marathon dan Ekiden pada jam 4.30 pagi, membawa pelari melalui mercu tanda ikonik Singapura seperti National Stadium, Esplanade, Marina Bay dan Gardens by the Bay, sebelum menuju kehijauan East Coast Park dan Marina Barrage. Perlumbaan 10km pula melalui Suntec City, laluan bersejarah di War Memorial Park dan jambatan indah Esplanade Bridge. Ekiden memberi peluang kepada pasukan empat orang menamatkan jarak marathon secara berganti-ganti di zon pertukaran seperti Bayfront Plaza, ECP Carpark E1 dan Marina Barrage.

Menurut Daryl Yeo, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Sport Singapore: “Sebagai acara larian terbesar di Singapura, Standard Chartered Singapore Marathon menyatukan pelari, penyokong dan sukarelawan dalam meraikan semangat kesukanan dan ketahanan. Dengan format dua hari, lebih ramai pelari berpeluang menyahut cabaran Double Up dan menguji had mereka. Melihat pelari elit dan rekreasi menamatkan perlumbaan membuktikan komitmen kami membina budaya sukan inklusif dan dinamik di Singapura.”

Dalam kategori lelaki, pelari Uganda Abel Boniface Sikowo menjuarai Gold Label Elite Marathon dengan catatan masa 02:15:40. Beliau meluahkan rasa gembira kerana dapat berlari bersama rakan senegara di Singapura, sambil memuji laluan yang rata dan cuaca baik.

Shuko Genemo melintasi garisan penamat, muncul di tempat pertama bagi kategori Wanita dalam Gold Label Elite Marathon.

Kategori wanita pula menyaksikan kemenangan Shuko Genemo dari Ethiopia dengan masa 02:41:24. Pernah menyertai SCSM 2016 tanpa kemenangan, kali ini beliau menzahirkan kegembiraan luar biasa kerana akhirnya berjaya meraih gelaran juara.

Menurut Lilian Chee, Pengarah Sukan, Lembaga Pelancongan Singapura: “Penyertaan antarabangsa yang mencatat rekod tahun ini membuktikan daya tarikan Singapura serta kemampuan SCSM menarik atlet elit dan pelari tegar dari seluruh dunia. Kami berbangga dapat berkongsi semangat bandar ini dengan dunia dan mencipta pengalaman yang melangkaui garisan penamat.”

Pemenang kategori lelaki dan wanita Gold Label Elite Marathon masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai USD$50,000.

Soh Rui Yong (Maraton, Juara Kategori Lelaki Kejohanan Kebangsaan Singapura)

Kategori National Championship Marathon turut menyaksikan prestasi hebat daripada pelari tempatan. Soh Rui Yong dan Rachel See mempertahankan gelaran juara lelaki dan wanita, masing-masing membawa pulang SGD$10,000 dengan catatan masa 02:46:23 dan 02:58:15.

Kemenangan ini menandakan gelaran keenam Soh sebagai juara kebangsaan marathon lelaki, selain mencatat sejarah sebagai juara berganda pertama SCSM selepas turut menjuarai Half Marathon sehari sebelumnya. “Prinsip saya mudah – cabar diri, walaupun gagal, sekurang-kurangnya anda mencuba. Double Up Challenge memang sukar, tetapi saya bersedia secara mental. Walaupun esok mungkin saya tidak mampu berjalan, saya akan bangkit semula,” katanya.

Rachel See (Maraton, Juara Kategori Wanita Kejohanan Kebangsaan SIngapura)

Rachel See pula menzahirkan rasa puas hati kerana berjaya menamatkan marathon di bawah tiga jam, sekali gus mencatat rekod peribadi tempatan. “Saya amat gembira dengan pencapaian ini dan akan menghargai detik kemenangan ini,” katanya.

Menurut Patrick Lee, CEO Standard Chartered Singapura dan ASEAN: “Sebagai penaja utama sejak 2002, kami berbangga melihat SCSM berkembang menjadi platform bertaraf dunia yang mempamerkan bakat dan ketabahan luar biasa. Acara ini bukan sahaja mengangkat sukan, tetapi juga memberi peluang kepada organisasi untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.”

Jeff Edwards, Pengarah Urusan Asia The IRONMAN Group menambah: “Setiap tahun kami menyaksikan atlet luar biasa menolak batas kemampuan. Tahun ini benar-benar mencerminkan semangat inklusif, menyatukan pelari elit, juara kebangsaan, individu berkeupayaan berbeza bersama penjaga mereka, serta pelari harian – semuanya menuju ke garisan penamat yang sama.”

Dalam kategori Marathon bukan kompetitif, pelari Jepun Kodai Ogawa dan Asami Minakawa menamatkan perlumbaan dengan masa 02:24:53 dan 03:01:39. Ogawa gembira dengan pencapaian masa kedua terbaiknya, manakala Minakawa yang pertama kali berlari di Singapura mengakui cabaran kelembapan tetapi tetap menikmati pengalaman tersebut.

Chris Koch, seorang para-atlet dari Kanada, menamatkan kedua-dua Half Marathon dan Marathon dengan menggunakan longboard.

Edisi kali ini turut menyaksikan kisah inspirasi daripada Chris Koch, para-atlet Kanada yang menggunakan longboard sebagai alat mobiliti. Beliau menamatkan kedua-dua Half Marathon dan Marathon dengan masa 02:52:32 dan 04:20:05, sekaligus mencatat sejarah sebagai peserta pertama SCSM yang menamatkan perlumbaan menggunakan longboard.

Suasana penuh tenaga dan kegembiraan menutup tirai SCSM 2025, meninggalkan kisah pencapaian inspirasi dan detik bersejarah yang akan dikenang dalam lipatan sejarah marathon ini.

Untuk maklumat lanjut, layari https://singaporemarathon.com.

Check Also

New Balance 1080 v15: Evolusi Kusyen Premium dengan Teknologi Infinion

Share this on WhatsApp New Balance sekali lagi mengangkat standard kasut larian harian premium dengan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!