Melalui gandingan dengan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (“IFRC”), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (“PBSMM”) hari ini melancarkan aplikasi Pertolongan Cemas mudah alih buat julung kali di tanah air. Aplikasi Pertolongan Cemas PBSMM tersebut mengandungi maklumat mengenai pelbagai senario lazim serta petua menghadapi kecemasan termasuk lecuran, patah tulang, sehinggalah serangan asma.
Aplikasi ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, yang menawarkan nasihat pertolongan cemas melalui pelbagai video, animasi serta kuiz interaktif yang mudah diakses. Menurut statistik daripada Balai Cerap MAVIE (MAVIE Observatory), 80% daripada kemalangan berlaku di latar domestik. Di samping itu, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan 5.8 juta individu dijangka meninggal dunia setiap tahun akibat kecederaan. Justeru itu, kesedaran terhadap pelbagai risiko dan bahaya melalui ilmu pertolongan cemas adalah langkah pertama ke arah perkembangan budaya keselamatan dan pencegahan di rumah.
“Di waktu kecemasan, kekurangan ilmu pertolongan cemas boleh menyebabkan kecederaan dan kecacatan berkekalan, bahkan kematian yang tidak sepatutnya berlaku,” demikian kata Dato’ Sayed A. Rahman bin Sayed Mohd, Setiausaha Agung PBSMM. “Sebagai persatuan kebangsaan yang mendukung kepentingan pertolongan cemas, kami yakin bahawa aplikasi mudah alih ini membolehkan pengguna mendapatkan maklumat penyelamatan nyawa yang penting di hujung jari mereka. Bagaimanapun, kita patut faham bahawa aplikasi ini sekadar membekalkan petua pertolongan cemas yang berunsurkan pendidikan, tetapi bukannya untuk menggantikan latihan pertolongan dan pensijilan yang sah, mahupun keperluan untuk mendapatkan nasihat perubatan jika diperlukan.”
Aplikasi tersebut bakal ditawarkan melalui Play Store serta App Store, dan diharapkan dapat mencecah seramai 17 juta pengguna telefon pintar di tanah air. “Penggunaan telefon pintar yang semakin meluas di Malaysia bermaksud sesiapa sahaja, tidak kira kawasan pendalaman mahupun bandar mempunyai akses kepada ilmu yang penting ini,” kata Dato’ Sayed. “Kandungannya didatangkan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, sekaligus membolehkannya mencecah sasaran pengguna yang luas.”
Dihasilkan melalui kerjasama penjenamaan dengan Yayasan Prudence, aplikasi tersebut bakal dilancarkan serentak dengan Sukan SEA yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 19 hingga 30 Ogos 2017. Dengan memanfaatkan Sukan SEA, ia menyediakan pelbagai petua yang berguna, contohnya bagaimana para atlet dan penonton boleh mengekalkan tahap hidrasi. Aplikasi ini juga akan dipamerkan di laman sesawang Team Malaysia demi mencecah seramai 1.2 juta Peminat Team Malaysia dan para penyorak Team Malaysia KL2017 yang merupakan Penyokong Rasmi Atlet Nasional di Sukan SEA.
“Membantu masyarakat untuk memperoleh pengetahuan penyelamatan nyawa merupakan teras fokus kami di Yayasan Prudence. Oleh itu, kami berasa amat teruja untuk bekerjasama dengan PBSMM dalam meningkatkan kesedaran terhadap kemahiran pertolongan cemas asas,” ujar Marc Fancy, Pengarah Eksekutif Yayasan Prudence. “Ilmu pertolongan cemas merupakan satu kemahiran yang patut dimiliki semua. Oleh itu, aplikasi ini menawarkan akses segera kepada maklumat penting sekiranya kita menghadapi kecemasan. Selain itu, ia bertujuan melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran pertolongan cemas asas melalui usaha bersama PBSMM dan kami, supaya mereka mampu melindungi diri serta orang lain dengan lebih baik.”
Muat turun di:
Android: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.cube.gdpc.mys&hl=en
iOS: https://itunes.apple.com/my/app/first-aid-red-crescent/id1258119190?mt=8