PETALING JAYA, 15 Ogos 2016 – Fire Fighter Industry Sdn. Bhd. (Fire Fighter) menyasarkan kutipan derma berjumlah RM100,000 melalui larian Fire Fighter Charity Trail Run 2016 bagi membantu lima pihak yang menjadi mangsa kebakaran.
Pengarah Eksekutif, Michelle Hah (gambar – tengah) berkata, larian amal sejauh sembilan kilometer itu bakal dilangsungkan di Taman Botani Kepong, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Kepong pada 16 Oktober depan.
Acara larian amal yang julung-julung kali dianjurkan ini akan menjadi aktiviti tahunan bagi meraih dana serta sumbangan daripada orang ramai bagi membantu mangsa atau individu berkaitan kebakaran.
“Bagi tahun ini, Fire Fighter memilih untuk memberi sumbangan kepada dua ‘hero’ penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan dua lagi dari kalangan orang awam yang menjadi mangsa kebakaran,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Fire Fighter. Fire Fighter merupakan syarikat pengeluar alatan pemadam api tempatan yang ditubuhkan sejak 1974 adalah salah satu syarikat yang mendapat pengiktirafan National Mark of Malaysia Brand.
Pendaftaran kini dibuka dan setiap peserta hanya perlu membayar RM60 untuk satu penyertaan.
Sepuluh pemenang bagi setiap kategori bakal membawa pulang trofi dan pemenang lima teratas bakal menerima baucer untuk produk Ultron.Cabutan bertuah juga disediakan dengan hadiah-hadiah seperti pemadam api, pelindung kebakaran rumah dan hadiah utama TV Samsung 48 inci.
Pada hari larian juga, Fire Fighter dengan kerjasama Jabatan Bomba bakal membuat demonstrasi keselamatan kebakaran bagi meningkatkan kesedaran awam tentang keselamatan api.
Para pelari akan menerima sehelai baju acara jenama Ultron, pingat penamat dan beg goodies.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.event.howei.com atau hubungi talian 012-292 8459 dan 017-2888802.