Home / Berita Terkini / Larian Cergas Semarakkan Agenda Merakyatkan Parlimen

Larian Cergas Semarakkan Agenda Merakyatkan Parlimen

Kuala Lumpur, 9 Julai 2026Parlimen Malaysia melalui Sekretariat Parlimen Belia Malaysia (PBMy) buat julung-julung kalinya akan menganjurkan Larian Cergas Parlimen pada 25 Julai 2026 dengan kerjasama My Creative Moments. Acara larian sejauh 5km ini terbuka kepada penyertaan umum khususnya golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun, termasuk pelajar sekolah menengah, mahasiswa IPTA/IPTS/TVET, ahli Parlimen, agensi kerajaan, badan korporat, kelab larian, pertubuhan belia serta masyarakat awam. Pelepasan larian akan berlangsung di kawasan Parlimen Malaysia, menjadikan acara ini unik kerana ia menghimpunkan wakil rakyat, belia dan komuniti dalam satu acara yang simbolik.

Acara penyerahan jersi larian oleh YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Husaini bin Abdul Rahman, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia dengan disaksikan oleh YB Senator Dato Awang Bemee bin Awang Ali Basah, Yang di-Pertua Dewan Negara dan YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat kepada Ahli-ahli Parlimen menggambarkan komitmen institusi Parlimen bukan sahaja sebagai badan perundangan tetapi juga sebagai pemangkin membudayakan gaya hidup sihat dan menyemarakkan semangat demokrasi berparlimen melalui aktiviti sukan.

Penganjuran ini membawa objektif besar: membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan belia, memperkasa penglibatan mereka dalam pembangunan negara, menggalakkan penyertaan aktif dalam proses demokrasi, memupuk perpaduan melalui sukan, mengukuhkan semangat patriotisme dan tanggungjawab sosial, serta menjadikan acara ini sebagai acara tahunan berprestij di bawah Parlimen Belia Malaysia.

Keistimewaan program ini termasuk bacaan Ikrar Belia “Suara Belia, Suara Demokrasi”, pameran interaktif demokrasi serta pelbagai aktiviti komuniti belia dari seluruh negara. Nilai teras yang diketengahkan adalah demokrasi, kesihatan, kepimpinan dan perpaduan, dengan mesej utama bahawa setiap langkah adalah penyertaan, setiap kilometer adalah komitmen dan setiap suara adalah masa depan Malaysia.

Selain itu, acara ini turut mempromosikan pendaftaran belia berumur 18 hingga 30 tahun dalam Program Parlimen Belia Malaysia (PBMy), sebuah platform rasmi bagi penyertaan belia dalam proses demokrasi, memupuk bakat kepimpinan, membentuk pemikiran kritis, meningkatkan kemahiran berbahas serta memberi pendedahan kepada sistem dan amalan Parlimen.

Penganjuran ini juga diharap dapat menyemarakkan agenda “Merakyatkan Parlimen” yang bertujuan memperkukuh hubungan antara Parlimen dan rakyat dengan menggalakkan penyertaan awam dalam proses demokrasi serta memupuk budaya tadbir urus yang telus, inklusif dan bertanggungjawab.

Orang ramai dijemput untuk menyertai acara ini, dan maklumat lanjut serta pendaftaran boleh didapati di pautan rasmi: https://getbiib.com/events/1689.

Check Also

KM Jadi RM – Desas-Desus Ganjaran Tunai Untuk Pelari Malaysia

Share this on WhatsApp Bagi komuniti pelari tegar, setiap bulan biasanya penuh dengan rutin yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!