Home / Berita Terkini / Kawal Kolestrol Demi Jantung Lebih Sihat

Kawal Kolestrol Demi Jantung Lebih Sihat

3 NOP IJN media briefing

Kuala Lumpur, 11 Oktober 2017 – Penyakit jantung merupakan pembunuh No. 1 di Malaysia. Malangnya, masih ramai tidak menyedari sesetengah faktor risiko yang boleh membawa kesan serius kepada kesihatan jantung. Satu dalam setiap dua orang dewasa di Malaysia didapati menderita masalah kolesterol tinggi. Lebih membimbangkan, kira-kira separuh daripada bilangan tersebut merupakan golongan muda yang belum mencecah usia 40 tahun! Angka yang mengejutkan ini sekali gus mencerminkan kesibukan gaya hidup dan amalan pemakanan rakyat Malaysia.

Demi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kes penghidap kolesterol tinggi yang kian meningkat di Malaysia, NESTLÉ Omega Plus telah menganjurkan satu sesi perkongsian hari ini bagi menekankan kepentingan pengurusan kolesterol dalam tubuh. Sesi perkongsian anjuran bersama Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), sebuah badan amal IJN ini turut mendidik para peserta tentang keperluan mengutamakan kesihatan jantung demi menikmati kualiti hidup yang lebih baik. Sesi perkongsian ini dijayakan oleh barisan pengamal perubatan professional IJN dan pakar nutrisi dari Nestle yang berkongsi tentang kesan-kesan negatif kolesterol tinggi terhadap kesihatan jantung dan kaedah pengurusannya demi menikmati kualiti hidup yang lebih optimum.

4 NOP IJN media briefing

Dalam aktiviti tersebut, Timbalan Ketua Jabatan Kardiologi IJN, Dr. Shaiful Azmi turut memberi satu gambaran menyeluruh tentang kolesterol dan peranannya sebagai punca utama penyakit penyakit kardiovaskular. Menurutnya, pembentukan kolesterol berpunca daripada pengumpulan lemak berlebihan dalam salur darah. Kolesterol yang terkumpul pada dinding arteri boleh menyekat kelancaran aliran darah dan oksigen, sekali gus mengakibatkan masalah sakit dada, serangan strok dan penyakit jantung.

“Ramai yang terkejut dengan fakta ini. Hakikatnya, masalah kolesterol tinggi tidak memilih mangsa dan boleh mengancam sesiapa saja. Tidak kira usia, jantina atau saiz badan. Mitos bahawa kolesterol tinggi hanya berlaku kepada golongan tertentu adalah tidak benar. Golongan wanita dan lelaki mempunyai risiko yang sama. Mereka yang tidak obes dan orang muda juga berisiko tinggi. Malangnya, masalah kolesterol tinggi lazimnya tidak menunjukkan sebarang simptom. Malah, kewujudan masalah ini biasanya hanya dikesan di saat-saat genting,” katanya.

2 NOP IJN media briefing

Pengalaman tentang realiti ancaman kolesterol tinggi dan impak negatifnya terhadap kesihatan ini dikongsi oleh beberapa pesakit IJN. Dengan gaya hidupnya yang sibuk, Muhammad Shahril Hamdan hanya menyedari kedua-dua arterinya tersumbat akibat arteriosclerosis pada usia 36 tahun. Bebanan tekanan kerja yang menjurus kepada amalan buruk turut menjadi penyebab masalah sakit bahu yang tidak disedari sebelum ini. Bagi Puan Jeyaessuary, 52, sakit dada yang dirasai secara mengejut ruparupanya berpunca daripada ketiga-tiga arterinya yang telah tersumbat. Keadaan ini berlaku akibat paras kolesterolnya yang tinggi dan masalah tekanan darah tinggi serta diabetes yang juga dihidapinya.

“Saya sangat terkejut bila mengetahui jantung saya bermasalah. Selama ini, saya ingat masalah jantung hanya mengancam mereka yang kurang bersenam dengan amalan pemakanan yang tidak sihat. Daripada pengalaman ini, saya sedar betapa pentingnya penjagaan kesihatan jantung. Saya menggesa orang ramai agar melakukan pemeriksaan paras kolesterol secara kerap. Jangan sesekali mengendahkan sebarang petanda awal yang ditunjukkan oleh badan,” pesan Shahril.

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi di IJN, Dr. Emily Tan pula berkata bukan semua kolesterol adalah buruk. Jelasnya: “Ada sejenis kolesterol yang dihasilkan oleh tubuh secara semula jadi bagi membantu pembentukan sel membran, hormon dan vitamin D. Sejenis lagi pula berpunca daripada kandungan lemak tepu dan lemak trans yang dihadam ketika makan dan ini merupakan kolesterol buruk dalam badan.”

Pencegahan sememangnya lebih baik daripada penyembuhan. Rakyat Malaysia perlu bersikap lebih proaktif dalam menjaga kesihatan jantung dengan mengutamakan pemeriksaan paras kolesterol secara kerap. Rutin pengurusan kesihatan jantung yang holistik merangkumi perubahan gaya hidup dan amalan pemakanan yang baik untuk organ terpenting itu. Pemilihan makanan dan ketelitian ketika membaca label produk makanan juga harus diutamakan. Amalan gaya hidup aktif yang melibatkan pelbagai aktiviti fizikal dan senaman secara kerap juga dapat membantu dalam rutin penjagaan kesihatan jantung.

1 NOP IJN media briefing

“Salah satu kaedah terpantas untuk menyekat penyerapan kolesterol tidak baik dalam tubuh adalah menerusi pengambilan sterol tumbuhan. Bahan semula jadi ini biasanya hadir dalam tumbuhan,” kongsi Pakar Nutrisi Kanan Kanan Nestlé (Malaysia) Berhad, Nurul Iliani Ahmad. Tambahnya: “Komposisi molekul sterol tumbuhan adalah sama dengan kolesterol. Jadi, sterol tumbuhan bertindak ‘meniru’ kolesterol bagi bersaing untuk diserap oleh tubuh. Tindakan ini berkesan menghalang penyerapan kolesterol dalam tubuh. Lebihan kolesterol kemudiannya disingkirkan oleh tubuh sebagai najis,” terangnya.

“Pengambilan 1.2 gram sterol tumbuhan setiap hari telah terbukti berkesan dalam mengurangkan kolesterol. Amaun ini bersamaan dengan pengambilan 255 buah tomato dan 126 batang lobak merah setiap hari. Pengambilan minuman dengan kandungan sterol tumbuhan yang diperlukan oleh tubuh adalah lebih mudah dan pantas,” tambahnya.

Menurut Pegawai Eksekutif Bahagian Perniagaan Produk Tenusu Nestlé Malaysia, Ng Su Yen, NESTLÉ sentiasa komited dalam usaha mendidik masyarakat dan menyebarkan maklumat penting tentang kaitan antara kolesterol tinggi dan kesihatan jantung.

“Rakyat Malaysia perlu menyedari betapa bahayanya masalah kolesterol tinggi kepada kesihatan. Di Nestle, kami ingin mendorong orang ramai agar melakukan perubahan ringkas menerusi amalan biasa yang dipraktikkan demi menikmati impak positifnya terhadap kesihatan jantung dan kualiti hidup dalam jangka panjang. Ini sejajar dengan matlamat Nestle dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat sejagat demi masa depan yang lebih sihat,” ujar Ng.

Usahasama antara NESTLÉ Omega Plus dan Yayasan IJN ini telah dimeterai pada awal tahun ini. Semenjak itu, kerjasama antara dua organisasi ini telah membuahkan pelbagai hasil menerusi penganjuran sejumlah aktiviti kesihatan. Antaranya termasuk pemeriksaan paras kolesterol, pengagihan kelengkapan kesihatan dan aktiviti pendidikan berterusan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang amalan pemakanan sihat. Selain itu, sebanyak 13 acara berjalan, Walk-A-Sunday telah diadakan di seluruh Malaysia demi mendorong rakyat Malaysia agar lebih aktif untuk kesihatan jantung yang lebih baik.

Dalam usaha memperjuangkan gaya hidup aktif demi kesihatan jantung yang lebih baik, NESTLÉ OMEGA PLUS juga mendorong semua rakyat Malaysia agar lebih proaktif menguruskan paras kolesterol mereka. Masa depan dan gaya hidup yang lebih sihat bermula dengan perubahan kecil yang dipraktikkan hari ini!

Untuk maklumat lanjut dan aktiviti terkini NESTLÉ OMEGA PLUS, sila layari laman sosial www.facebook.com/NestleOmegaPlus.

Check Also

GARMIN RUN ASIA SERIES 2023 Kembali dengan Tema ‘ZERO to HERO’

Share this on WhatsApp Malaysia, 10 Mei 2023 — Garmin Malaysia hari ini mengumumkan acara …

One comment

  1. kena banyak bersenam la lepas ni sbb badan dah naik….hehehehehe

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!