Untuk tahun ketiga berturut-turut, Institut Jantung Negara (IJN) dan Philips Malaysia bekerjasama dalam program pendidikan masyarakat FATCHECK for a Healthy Heart – dengan pelancaran kempen ‘Enam Rahsia Bagi Jantung Yang Sihat’ hari ini. Kempen yang diadakan sebagai menyokong sambutan Hari Jantung Sedunia oleh Persekutuan Jantung Sedunia (WHF) pada 29 September, yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap penyakit kardiovaskular.
Gaya hidup yang tidak sihat adalah punca utama serangan jantung dan strok, justeru berhenti merokok, makan secara sihat dan menjadi aktif secara fizikal adalah penting bagi membantu anda hidup lebih lama, dan dalam cara lebih mesra jantung. Menurut Persekutuan Jantung Sedunia (WHF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit jantung kekal punca kematian nombor satu di seluruh dunia dengan kira-kira 17.7 juta kematian pada tahun 2015, mewakili 31% kematian di seluruh dunia[1]. Begitu juga di Malaysia, penyakit sistem peredaran darah menjadi punca kematian nombor satu di Malaysia, merangkumi 27.7% daripada kesemua kematian di hospital swasta dan 22.77% daripada kesemua kematian di hospital Kerajaan pada tahun 2015[2].
“Memandangkan ramai rakyat Malaysia berisiko menghidap penyakit jantung, kita perlu segera menangani isu ini. Perkara pertama yang biasa disangka orang ramai ialah untuk mencapai kehidupan lebih sihat, kita perlu mengubah pilihan makanan dan minuman. Walaupun itu benar, tapi kita juga perlu mengubah cara hidup. WHO telah mengenalpasti beberapa faktor amalan berisiko yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular (CVD) seperti penggunaan tembakau, pemakanan tidak sihat dan obesiti, kekurangan aktiviti fizikal dan penggunaan alkohol yang memudaratkan. Disebabkan itu, program FATCHECK for a Healthy Heart tahun ini mengambil pendekatan menyeru orang ramai supaya bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri dengan enam rahsia mudah untuk memiliki jantung yang sihat,” kata Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, Ketua Pegawai Klinikal dan Perunding Kanan Kardiologi di IJN.
Sejajar itu, kempen ‘Enam Rahsia Bagi Jantung Yang Sihat’ telah menerbitkan video advokasi dan akan menyiarkan satu siri paparan berunsur pendidikan di media sosial untuk terus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit kardiovaskular dan impaknya terhadap warga Malaysia. Video pendidikan itu menunjukkan enam cara pengubah hidup untuk mengamalkan gaya hidup mesra-jantung yang mencerminkan amalan berisiko yang telah dikenalpasti oleh WHO. Ini termasuk:
- Mempunyai gaya hidup yang aktif dari segi fizikal
- Tidak merokok
- Menangani tahap tekanan dalam hidup
- Mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan kadar tetap
- Makan diet yang sihat; dan
- Mengamalkan cara memasak rendah-lemak yang mesra-jantung, dengan menggunakan kaedah airfry semasa menggoreng
Bijal Shah, Ketua Sistem Kesihatan, Philips Malaysia berkongsi, “Kami teruja dapat bekerjasama sekali lagi dengan IJN bagi menggalakkan diet mesra-jantung di kalangan warga Malaysia sebagai sebahagian daripada program FATCHECK for a Healthy Heart tahun ini. Sebagai pendahulu global dalam teknologi kesihatan, Philips telah bekerjasama dengan Persekutuan Jantung Sedunia (WHF) sejak beberapa tahun ini untuk menggalakkan pencegahan penyakit jantung terutamanya bersempena Hari Jantung Sedunia. Di Philips, kami percaya makanan dan minuman yang sihat adalah asas bagi kesejahteraan diri, tapi ini tidak bermakna kita perlu meninggalkan makanan lazat yang digemari. Peralatan dapur Philips seperti Philips Airfryer direkacipta untuk menjadikan penyediaan hidangan lazat dan sihat di rumah lebih mudah, sekaligus membantu semua orang mencapai diet yang seimbang, bernutrisi dan mesra-jantung.”
Menurut Mary Easaw, Ketua Pakar Pemakanan di IJN, kunci bagi pemakanan mesra-jantung adalah diet yang seimbang secara sederhana, dan mempunyai kepelbagaian. Diet tinggi-lemak paling memudaratkan kerana ia akan mengakibatkan berat badan berlebihan, kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi – kesemuanya penyumbang kepada serangan jantung. “Memberitahu seseorang untuk melupakan hidangan goreng kegemarannya adalah satu cabaran. Itu sebabnya kami gembira dapat bekerjasama sekali lagi dengan Philips Malaysia untuk program FATCHECK bagi menggalakkan amalan masakan rendah-lemak menggunakan Airfryer sebagai satu daripada enam cara seseorang boleh mengamalkan gaya hidup mesra-jantung,” katanya.
Sebagai sebahagian kempen, IJN dan Philips Malaysia juga akan melancarkan satu siri video memasak memaparkan resipi direka oleh pasukan pakar pemakanan IJN bagi mendidik rakyat Malaysia mengenai cara menyediakan hidangan mesra-jantung tanpa menjejaskan rasanya.
Bermula pada tahun 2015, inisiatif pertama FATCHECK memaparkan kakitangan IJN yang menggalakkan masakan rendah-lemak dan mesra-jantung dengan resipi yang dikumpulkan dalam buku resipi bertajuk, “Heart-y Meals: Smart Guide To Guilt-Free Cooking”. Pada tahun 2016, program ini menunjukkan betapa mudahnya menyepadukan masakan yang rendah-lemak dan mesra-jantung ke dalam gaya hidup keluarga yang sihat menerusi satu pertandingan memasak mesra-jantung yang terbuka kepada orang ramai. Tahun ini, program FATCHECK for a Healthy Heart mendorong rakyat Malaysia supaya bertanggungjawab terhadap kesihatan mereka sendiri dengan enam cara holistik ke arah gaya hidup yang mesra-jantung.
Untuk maklumat lanjut mengenai program FATCHECK for a Healthy Heart, layari
www.fatcheck.my atau www.facebook.com/MyFatCheck.
[1] World Health Organization, May 2017, Cardiovascular diseases (CVDs), http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs317/en/
[2] Ministry of Health Malaysia, August 2016, Health Facts 2016,
http://www.moh.gov.my/images/gallery/publications/KKM%20HEALTH%20FACTS%202016.pdf