Home / Berita Terkini / HARI SUKAN NEGARA Tampilkan Larian Separuh Marathon HSN 21KM 2016

HARI SUKAN NEGARA Tampilkan Larian Separuh Marathon HSN 21KM 2016

HSN21KM - Pix - Copy

KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2016 – Para pelari berpeluang berlari bersama penggemar sukan larian tempatan dan antarabangsa, meraikan semangat kesukanan dan kegembiraan, pada penganjuran sulung larian HSN21KM yang akan berlangsung pada 8 Oktober 2016. Larian HSN21KM – acara utama pada sambutan Hari Sukan Negara tahun ini, merupakan satu inisiatif oleh penganjur acara terkemuka, Muse Group Asia, dan disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Larian tersebut, sejajar dengan matlamat Hari Sukan Negara, bertujuan untuk terus membakar dan mengukuhkan semangat untuk kekal cergas dan sihat di kalangan rakyat Malaysia, di samping menyokong matlamat mewujudkan sebuah negara bersukan. Ini merupakan tahun kedua penganjuran Hari Sukan Negara, selepas sambutan sulungnya pada tahun 2015.

Diadakan di pusat bandar Kuala Lumpur, dengan tiga lokasi permulaan yang dikenali ramai, HSN21KM berhasrat untuk menghimpunkan para pelari dari segenap lapisan masyarakat – menyemai semangat berlari di kalangan generasi muda, mencabar kumpulan pelari elit dan membakar semangat pelari lain untuk mengatasi pencapaian terbaik diri dan mendorong warga lain untuk menyertai acara larian buat pertama kali. “Ini akan menjadi satu acara untuk semua. Daripada pelari elit kepada pejalan kaki dan mereka di antaranya, HSN21KM akan memberi cabaran dan paling penting, menjadi satu acara ceria yang menyatukan segenap rakyat Malaysia dan penggemar sukan larian dari luar negara. Sejak pendaftaran dibuka empat minggu lalu, kami telah menerima 1,000 penyertaan bagi acara ini dan sedia menerima lebih banyak penyertaan selepas ini,” kata Datuk Megat Zulkarnain Omardin, Presiden Muse Group Asia.

HSN21KM menawarkan tiga jarak larian – 21km, 10km dan 5km. Acara larian ceria 5km direka sebagai larian berhalangan, tetapi berbeza daripada acara sukar dan berlumpur yang menjadi kebiasaan, acara kali ini menawarkan halangan ceria untuk seisi keluarga. Keunikan kategori ini turut terserlah kerana penyertaan terbuka kepada golongan kurang upaya, yang menggunakan kerusi roda dan sebagainya. Bermula di Padang Merbok, larian ceria 5km ini pasti akan menawarkan perlumbaan yang menyeronokkan bagi seisi keluarga mahupun para peserta lain.

Dataran Merdeka akan menjadi lokasi permulaan bagi larian sejauh 21km. Dijadualkan sebagai acara utama HSN21KM berdasarkan peluang mencipta rekod yang disediakan, laluan 21km ini akan melewati beberapa mercu tanda ibu negara seperti Bukit Tunku, Menara Berkembar Petronas dan banyak lagi. Sementara itu, larian sejauh 10km, yang dijangka menarik bilangan peserta terbesar, akan bermula di Jalan Raja Laut, dan juga melewati beberapa mercu tanda sepanjang laluannya. Ketiga-tiga acara akan berakhir di Dataran Merdeka.

HSN21KM menyediakan pelbagai tawaran menarik kepada peserta. Pertama, nilai hadiah yang disediakan untuk pelbagai kategori adalah lumayan, iaitu sehingga RM36,000. Pemenang kategori Terbuka Lelaki dan Wanita 21km akan disediakan wang tunai RM7,000 dengan pelbagai hadiah tunai lain ditawarkan sehingga pemenang tempat ke-6 dalam kategori Terbuka dan Veteran 21km untuk kedua-dua kategori Lelaki dan Wanita. Hadiah wang tunai juga ditawarkan kepada lima pemenang teratas larian 10km – bagi kategori Terbuka dan Veteran serta Lelaki dan Wanita.

Atasi Rekod Anda adalah tarikan istimewa HSN21KM, yang mana para peserta tempatan berpeluang untuk memecah rekod 21km Negara dan membawa pulang insentif bernilai RM20,000. Arul Thevar Muniandy, yang telah mencatatkan rekod masa 1 jam 7 minit 59 saat di Ipoh pada 4 Julai 2004, pada masa ini memegang Rekod Kebangsaan lelaki bagi acara separuh marathon, sementara dalam kategori wanita, pemegang rekod Sheela Samivellu telah mencatatkan masa terbaik 1 jam 27 minit 9 saat pada 30 September 2012 di acara Petaling Jaya Half Marathon.

“Rekod-rekod ini dicapai oleh rakyat Malaysia. Malah, pencapaian cemerlang tersebut telah menempatkan mereka dalam lipatan sejarah. HSN21KM mencabar peserta untuk memecahkan rekod tersebut. Jika berjaya, pelari tersebut akan menjadi bintang sukan negara yang baharu. Pada tahun-tahun akan datang, kami merancang untuk memperluaskan reputasi negara sebagai destinasi antarabangsa bagi pelari kompetitif menerusi penganjuran acara yang lebih besar. Penganjuran HSN21KM merupakan satu permulaan yang baik untuk usaha sama sektor swasta dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam menjadikan visi ini satu realiti,” tambah Datuk Megat Zulkarnain.

Bagi peserta yang mampu menghimpunkan keluarga dan rakan-rakan, mereka digalakkan menyandang tugas Kapten Perlumbaaan. Individu yang berjaya mendaftarkan 10 peserta lain bagi HSN21KM dalam sebarang kategori akan layak menyertai perlumbaan secara percuma dan turut menerima gelaran Kapten Perlumbaan.

Beberapa syarikat telah tampil sebagai rakan rasmi dan penaja bagi HSN21KM. PROTON merupakan Penaja Penyampai dan menawarkan sebuah keretanya sebagai hadiah cabutan bertuah yang akan diadakan di Dataran Merdeka bersempena perlumbaan tersebut serta sambutan Hari Sukan Negara. Kedua-dua peserta HSN21KM dan pengunjung sambutan Hari Sukan Negara di Dataran Merdeka layak menyertai cabutan bertuah yang berasaskan kupon ini. Ekoran penyertaan Brooks Malaysia sebagai Penaja Pakaian Rasmi bagi HSN21KM, kesemua peserta akan menerima baju-T larian sumbangan syarikat tersebut. Selain itu, 2,000 peserta yang mendaftar terdahulu bagi HSN21KM layak menerima sepasang seluar pendek larian Brooks dan menikmati diskaun 40 peratus untuk sebarang pakaian Brooks atau penjimatan 30% untuk kasut Brooks. Seluar pendek tersebut boleh ditebus dari mana-mana kedai Brooks dengan menunjukkan emel pengesahan penyertaan terawal sebagai bukti, sementara baucar diskaun akan diberikan bersama-sama pek perlumbaan. Hanya satu baucar diskaun Brooks boleh digunakan bagi setiap transaksi dan tidak boleh digabungkan dengan baucar-baucar atau tawaran lain. HSN21KM juga telah berjaya mendapatkan Lucozade sebagai Minuman Rasmi dan Swiss-Inn sebagai Hotel Rasmi bagi acara tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada masyarakat umum di Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Sukan Negara. Antaranya termasuk sukan dan permainan popular seperti bola jaring, futsal, gusti tangan, tarik tali dan pertandingan e-Sport, dan sebagainya. Akan turut diadakan pertandingan Siri Kebangsaan OneSilat untuk menambahkan unsur sukan mempertahankan diri, sementara golongan muda mahupun warga emas boleh menikmati aktiviti-aktiviti kanak-kanak, bazar sukan dan pelbagai lagi.

Pendaftaran bagi HSN21KM akan ditamatkan pada 15 September 2016, ataupun lebih awal sekiranya kapasiti maksimum dicapai.

Untuk maklumat lanjut mengenai HSN21KM, sila layari www.hsn21km.com atau laman Facebook HSN21KM.

 

Check Also

Diganggu Penunggu Presint 18, Putrajaya? Pelari Kongsi Kisah Seram Ketika Berjoging

Share this on WhatsApp Gambar hiasan Pernahkah anda mengalami insiden yang menyeramkan ketika berlari di …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!