Kuala Lumpur (11 Julai, 2017): Selepas menjelajah beberapa tempat, Great Eastern Viper Challenge yang merupakan acara larian berhalangan terbesar Asia akan berada di Genting Highlands dan bakal dikenali sebagai Great Eastern Raja Tanah Tinggi Genting pada 15 Julai ini.
Great Eastern Raja Tanah Tinggi Genting akan mencabar lebih 10,000 peserta untuk tahun kedua dengan cabaran larian mendaki bukit, jalan yang bengkang bengkok, dan banyak lagi cabaran baru yang menarik. Dianjurkan oleh Genting Resorts, cuaca sejuk di Genting Highlands pastinya memberikan pengalaman berbeza daripada edisi sebelum ini.
Acara di Genting Highlands ini akan meliputi jarak sejauh 10 km dan 15 halangan dengan kumpulan peserta pertama yang dilepaskan seawal jam 7 pagi. Peserta akan menerima pingat finisher dan t-shirt khas setelah mereka menyelesaikan cabaran. Gerai Great Eastern LIVE GREAT juga akan menawarkan cetakan foto percuma dan peluang untuk memenangi kad hadiah Starbucks di LIVE GREAT Fitness Challenge.
“Ianya sentiasa menjadi sesuatu yang menarik untuk kembali di sini, Genting Highlands kerana ia memberikan suasana berbeza berbanding dengan tempat-tempat terdahulu. Jalan raya yang berbukit dan cuaca akan menjadi penghalang ke-16 bagi setiap peserta kerana mereka pastinya menghadapi kesukaran menuju garisan penamat, “kata Selva Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif Original Bootcamp Sdn Bhd.
“Viper Challenge sangat mementingkan kesihatan serta kecergasan hidup seseorang dan kami gembira dapat membantu mendidik para peserta mengenai pentingnya gaya hidup sihat,” katanya.
Dipersembahkan kepada anda oleh Great Eastern, cabaran Viper Challenge 2017 adalah sebahagian daripada Program LIVE GREAT yang juga merupakan program berkaitan senaman atau kesihatan pertama dianjurkan syarikat insurans di rantau ini. Program ini merangkumi lima komponen iaitu peralatan kesihatan, tips kesihatan, aplikasi telefon, bengkel kesihatan dan terdapat acara yang disediakan. Selain itu, melalui kad LIVE GREAT, peserta akan memperoleh manfaat eklusif berkaitan kesihatan di semua cawangan rakan kongsi seluruh rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Life, Dato Koh Yaw Hui berkata, “Sebagai penaja utama Great Eastern Viper Challenge untuk tahun kedua, kami berharap dapat terus memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk hidup lebih sihat dan lebih baik dengan menganjurkan bukan sahaja kesihatan fizikal, tetapi juga menguji mental.
“Peserta Viper Challenge perlu mencabar diri mereka untuk melampaui sempadan dan batasan mereka bagi mengatasi pelbagai rintangan sepanjang acara dan menghabiskan cabaran di garisan penamat. Acara ini bukan sahaja menggalakkan idea yang seimbang dan holistik tentang kesihatan yang baik tetapi juga kesejahteraan emosi untuk memupuk semangat dan kerja berpasukan. Kami percaya pentingnya badan dan minda yang sihat akan berupaya mencapai gaya hidup sihat secara holistik ,”katanya.
Memandangkan kos perjalanan yang agak tinggi, pakej Viper Jet mempelawa peserta dari Singapura untuk terbang ke Kuala Lumpur dengan kadar menarik sebelum bergerak ke Genting Highlands. Pakej untuk dua orang adalah termasuk tiket penerbangan pergi balik, tiket masuk ke Great Eastern Raja Tanah Tinggi Genting serta dua malam penginapan di First World Hotel, Genting.
Viper Challenge yang mendapat sambutan lebih 120,000 peserta tempatan dan antarabangsa sejak ianya dianjurkan adalah disokong oleh Malaysia Major Events, satu bahagian dalam Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).
Acara ini mempunyai pelbagai format kepada orang ramai dan juga kepada peserta elit. Peserta dikehendaki untuk melengkapkan mana-mana tiga daripada lima siri – peringkat kelayakan (Singapura, Pulau Pinang dan Johor) atau acara peringkat pertengahan (Genting Highlands, Shah Alam) sebelum membuat perjalanan ke peringkat akhir, Great Eastern Viper Challenge.
Selepas ini, Great Eastern Viper Challenge akan diadakan di Stadium Shah Alam pada bulan September dengan para peserta pastinya mahu melengkapkan pungutan pingat siri finisher mereka dan pada Disember, peringkat terakhir untuk Viper Challenge diadakan di Cyberjaya.