Larian Bursa Bull Charge bakal dianjurkan buat kali ketiga pada 8 September ini, bertempat di bangunan Bursa Malaysia. Acara larian tahunan ini membabitkan tiga kategori larian iaitu 1.5 kilometer (km) untuk ketua pegawai eksekutif (CEO), 2.5 km bagi ‘Corporate Relay Run’ dan 5 km terbuka untuk komuniti.
Bursa Malaysia menyasarkan untuk meraih dana sebanyak RM1.8 juta daripada peserta dan penaja di mana sumbangan tersebut bakal diagihkan kepada 25 pihak termasuk badan kebajikan.
Pada Sabtu lalu, team #jomkitalari dijemput untuk membuat “test run” laluan larian sejauh 5km bersama beberapa blogger dan juga kakitangan Bursa Malaysia. Semoga entri ini dapat membantu pelari-pelari yang bakal mengambil bahagian dalam acara tersebut nanti.
1. Mula dan tamat di Exchange Square, Bursa Malaysia
Kawasan perkarangan Bangunan Bursa Malaysia, Bukit Kewangan bakal dibanjiri ribuan pelari dan penyokong larian Bursa Bull Charge. Untuk mengelakkan pening kepala mencari tempat letak kereta, kami sarankan anda mengambil LRT (Plaza Rakyat atau Masjid Jamek) dan Monorel (stesen Raja Chulan).
Laluan keluar dari garisan permulaan adalah sempit dan menuruni cerun. Jaga-jaga, jangan sampai terjatuh atau melanggar pelari-pelari lain.
2. Laluan agak rata menyusuri jalan-jalan kotaraya yang sibuk
Berlepas dari Bangunan Bursa Malaysia, perserta bakal menurui cerun dan masuk ke Jalan Ceylon, melepasi Menara Bukit Ceylon; kemuaidan keluar ke jalan besar – Jalan Raja Chulan di hadapan Menara AmBank, The Weld, Menara Public Mutual, Wisma HLA, Affin Bank dan mengambil kiri masuk ke Jalan Sultan Ismail, melepasi Wisma Genting, Wisma Dion, Wisma KFC, Deutsche Bank, Shangri-La Hotel, Concorde Hotel ke Jalan Ampang dan kemuaidan menghala ke Dang Wangi LRT, AIA Tower, Muzium Telekom dan masuk jalan kecil menghala ke St John’s Institution sebelum pulang ke garisan penamat di Bursa Malaysia.
Anda dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berlari di jalan raya yang sibuk. Pelari bakal berkongsi jalan dengan dengan kenderaan-kenderaan lain kerana ia adalah mustahil untuk menutupi jalan-jalan di pusat bandar jam 3 petang. Di Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang, satu lorong dikhaskan untuk pelari, dan dua lorong untuk kenderaan bermotor. Jika boleh, lari di atas siar kaki dan jangan sekali-kali berlari di luar kawasan kon.
Sasar untuk habiskan larian 5km dalam masa 1 jam (Anda boleh!). Jalan akan dibuka sepenuhnya untuk trafik bermula jam 4:30 petang.
3. Waktu perlepasan mulai 3 petang.
Berdasarkan acara larian Rat Race di Wall Street, New York, Amerika Syarikat, larian Bursa Bull Charge ini dilangsungkan pada waktu pejabat bermula jam 3 petang. Sudah tentunya matahari adalah terik dan bahang pasti terasa. Beringatlah untuk melindungi diri anda dari sinaran matahari dengan memakai losyen pelindung matahari, topi dan kaca mata hitam.
4. Tiga Stesen Air di sepanjang laluan
Memandangkan acara ini dilangsungkan jam tiga petang yang panas terik, elakkan daripada strok haba (heat stroke) dengan menghidratkan badan anda sebelum, ketika dan selepas berlari. Sesiapa yang mengalami strok haba boleh terkena komplikasi dehidrasi kritikal dan jika tidak dirawat segera, boleh mengalami komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, otak, jantung dan hati. Jadi, minum air atau minuman isotonik yang secukupnya. Hentikan larian jika merasa kurang sihat.
5. Simpan tenaga untuk kilometer terakhir
Inilah saat-saat untuk memecut dan memotong saingan anda! Dari Muzium Telekom, para pelari akan mengambil jalan kecil menaiki bukit ke Institusi St. John sebelum menghala balik ke Bangunan Bursa Malaysia. Jangan lupa untuk senyum jika ternampak kamera!
Pesan kami yang terakhir: nikmati suasana meriah dan sorakan daripada para penyokong. Jangan terlalu ambil serius tentang larian ini kerana ia adalah larian amal dan tiada wang tunai ditawarkan sebagai hadiah.
The Bursa Bull Charge bakal berlangsung pada 8 September 2016 jam 3 petang. Untuk maklumat lanjut sila layari http://bullcharge.bursamarketplace.com/ and https://www.facebook.com/bursabullcharge