Ipoh, 24 Disember 2017 – Acara larian ultra 12 jam, POLO 12 Hours Challenge telah dibatalkan setelah seorang peserta maut ketika dalam perlumbaan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh.
Menurut kemaskini penganjur melalui laman Facebook, pelari, Chew Kee Cheong rebah semasa perlumbaan dan meninggal dunia di hospital sekitar jam 3.05 pagi.
It is with sadness that one of our participants, Mr. Chew Kee Cheong collapsed during our event and passed away in the hospital around 3.05a.m
We would like to extend our deepest condolences for the passing of Mr. Chew Kee Cheong to his entire family. May he rest in peace.
Larian 12 jam yang sepatutnya berlangsung dari jam 8 malam pada 23 Disember sehingga 8 pagi keesokan harinya telah dibatalkan setelah mangsa dibawa ke hospital.
Update (Sumber – Harian Metro) : Chew Kee Cheong, 44, yang menyertai acara Polo 12 hour Challenge dilihat terbaring di kawasan trek larian sebelum dibawa ke hospital oleh pasukan perubatan dan disahkan meninggal dunia pada 3.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, berdasarkan siasatan pihaknya mendiang yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak sangat aktif menyertai acara larian sejak sekian lama.
Katanya, ketika kejadian mendiang mengambil bahagian dalam Polo 12 hours Challenge di padang Polo yang dihadiri kira-kira 100 peserta dengan jarak 50 kilometer.
“Ketika larian seorang peserta nampak mendiang terbaring di trek larian sebelum segera dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menaiki ambulan.
“Selepas tiba di hospital mendiang disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas merawatnya,” katanya.
Beliau berkata, bedah siasat yang dijalankan mendapati mendiang meninggal dunia akibat sakit jantung.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah ditemui.
“Mayat mendiang sudah dituntut keluarganya pagi ini untuk urusan pengkebumian,” katanya.