
Ara Damansara, 28 September 2026 – Lotuss Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Lotus’s Malaysia) semalam berjaya menganjurkan Lotus’s Ceria Charity Run (CCR’26) yang keempat, di Lotus’s Ara Damansara, yang menghimpunkan 5,000 peserta larian bagi menyokong pendidikan. Acara tahun ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM500,000 untuk Program Sekolah SMART Up Lotus’s – PINTAR, iaitu jumlah tertinggi yang pernah direkodkan sejak larian amal ini diperkenalkan pada tahun 2023.
Lotus’s Malaysia telah bekerjasama dengan Yayasan PINTAR sejak tahun 2016 menerusi Program Sekolah Angkatnya sebagai sebahagian daripada teras pendidikan #KitakanJiran. Smart Shopper Plus merupakan salah satu program pendidikan di bawah Program Sekolah SMART Up Lotus’s – PINTAR yang bertujuan untuk mendidik pelajar mengenai pengurusan kewangan secara praktikal, dan hasil kutipan daripada CCR’26 membantu menjayakan pelaksanaan program tersebut.
Sejak Ogos 2025, Smart Shopper Plus telah memberi manfaat kepada seramai 2,394 pelajar daripada 21 Sekolah Angkat Lotus’s di tujuh buah negeri, dengan kadar pencapaian objektif program sebanyak 96%. Bengkel sehari yang memberi penekanan kepada literasi kewangan secara praktikal ini merangkumi modul seperti membezakan keperluan dan kehendak, penyediaan bajet yang bijak serta amalan perbelanjaan berhemah.

Melalui kerjasama ini, Lotus’s dan Yayasan PINTAR mensasarkan untuk memperkasa 50,000 pelajar di seluruh negara menjelang tahun 2030, dan hasil kutipan CCR’26 akan membantu mempercepatkan pencapaian sasaran tersebut.
Bagi setiap penyertaan CCR’26, sebanyak RM20 telah disalurkan kepada program berkenaan. Para peserta juga berpeluang memberikan sumbangan tambahan menerusi pembelian jersi edisi khas CCR’26 pada harga RM30, yang mana keseluruhan kutipan daripada kedua-dua sumbangan tersebut disalurkan sepenuhnya kepada tujuan yang sama.
Mencatat satu lagi pencapaian baharu sejak diperkenalkan pada tahun 2023, CCR’26 menampilkan buat julung kalinya kategori Larian Separuh Marathon Kompetitif 21.1km, melibatkan kategori Terbuka dan Veteran bagi Lelaki dan Wanita. Penambahan baharu ini melengkapkan kategori Shop & Run 5km dan 10km yang kembali dianjurkan, sekali gus menawarkan peluang penyertaan kepada pelari daripada pelbagai peringkat kemampuan.

“Apa yang menjadikan Ceria Charity Run begitu istimewa ialah setiap kilometer yang dilalui hari ini membawa makna dan tujuan yang lebih besar. Ketika kami memperkenalkan larian ini pada tahun 2023, hasrat kami adalah untuk mewujudkan sebuah platform yang menyatukan komuniti, di samping membuka lebih banyak peluang kepada pelajar. Empat tahun kemudian, kami berjaya mengumpul dana tertinggi setakat ini, sebnayak RM500,000 dan selangkah lebih dekat untuk mencapai sasaran memperkasa 50,000 pelajar di seluruh negara menjelang tahun 2030. Kami amat berterima kasih kepada setiap peserta, penaja dan rakan kerjasama yang telah menjayakan usaha ini,” kata Saksit Panurach, Ketua Pegawai Eksekutif Lotus’s Malaysia.
CCR’26 berjaya direalisasikan dengan sokongan daripada Penaja Eksklusif iaitu Milo, Omega, Nestum, Nescafe, Maggi, KitKat, Nestle Ice Cream, Enercal dan Heitech, serta Penaja Platinum iaitu Chipsmore, Jacobs, Tiger dan TanjongEx. Acara ini turut disokong oleh pelbagai penaja kategori Emas, Perak dan Gangsa serta rakan penaja dalam bentuk barangan yang disenaraikan dalam lampiran siaran media ini.

Kawasan acara turut dimeriahkan dengan Race Village yang menampilkan 36 reruai pensampelan produk, permainan mesra keluarga, serta pelbagai pilihan makanan dan minuman daripada Coca-Cola, U Kambing, Kaktun, Hana Bella Kitchen, SCY, JiJo Street Coffee, Teego, Nims, EjaSnekHouz Bakery, Aducktive, Pak Leh, ADW, Rasto, Cik Suri, Songkhla, Mikayla Delicious dan Wall’s. Turut memeriahkan acara ialah trak makanan yang menawarkan pelbagai pilihan sajian dan minuman daripada Milo, CPW, Nestum, Ovaltine, Kimball, Marina, Farm Fresh, dan Zus Coffee serta biskut buatan tangan hasil sumbangan penerima manfaat Kechara Soup Kitchen.
Acara diakhiri dengan majlis penyampaian cek replika kepada Yayasan PINTAR serta cabutan bertuah yang menawarkan 10 hadiah menarik, termasuk hadiah utama berupa Zero ZT-DynamiQ Treadmill dan Zero Atlas Lite Massage Chair.
