
Petaling Jaya, 15 Julai 2025 – Sempena sambutan Hari Kebangsaan yang bakal menjelang, the Curve kembali menganjurkan acara tahunan yang dinanti-nantikan – Curve Merdeka Food Run 2025 – pada 30 Ogos 2025. Berkonsepkan larian santai sejauh 5KM yang diselang-selikan dengan pit stop makanan tempatan, acara ini dijangka menjadi antara kemuncak perayaan Merdeka di Lembah Klang.
Berikutan sambutan luar biasa tahun lalu dengan 1,500 peserta, penganjur menjangkakan penyertaan mencecah 3,000 orang tahun ini. Acara akan bermula seawal 7.30 pagi dari Piazza, the Curve, menampilkan pengalaman unik yang menggabungkan aktiviti fizikal dengan kelazatan juadah Malaysia seperti nasi lemak, karipap, sate, dan pelbagai makanan popular lain.
Lebih daripada sekadar larian, acara ini menjadi platform untuk menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang melalui semangat kekitaan dan kecintaan terhadap makanan serta budaya tempatan. Menurut En Jazmi Kamarudin, Ketua Pegawai Operasi Boustead Properties Berhad, “Acara ini menyerlahkan betapa eratnya hubungan rakyat Malaysia dengan makanan sebagai simbol perpaduan. Melalui Curve Merdeka Food Run, kami mahu cipta pengalaman bersama yang mengangkat nilai warisan dan gaya hidup aktif.”
Pendaftaran dibuka sehingga 3 Ogos 2025, dengan tawaran harga istimewa untuk penyertaan berkumpulan (4 orang). Pihak korporat turut digalakkan menyertai melalui pakej khas yang direka untuk tujuan pembinaan pasukan dan kesihatan pekerja.
Para peserta juga berpeluang memenangi hadiah menarik melalui Cabutan Bertuah bernilai RM10,000, yang akan berlangsung selepas tamat larian.
Curve Merdeka Food Run 2025 merupakan sebahagian daripada Kempen Merdeka anjuran the Curve sepanjang bulan Ogos. Di bawah tema Kesihatan, Warisan & Harmoni, pelbagai aktiviti seperti persembahan budaya, pameran komuniti dan bengkel interaktif akan diadakan bagi memperkukuh semangat patriotik dan meraikan kepelbagaian Malaysia.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari:
Laman web: www.thecurve.com.my atau HeyJom.com
Ikuti perkembangan terkini di laman Facebook dan Instagram rasmi the Curve
