Home / Acara Pilihan / RUNSTA BACK2SEMESTA RUN & RIDE FEST 2017

RUNSTA BACK2SEMESTA RUN & RIDE FEST 2017

RUNSTAB2S-flyerA5-v2

Kuala Lumpur, 10 Julai 2017RUNSTA Back2SEMESTA Run & Ride Fest 2017 bakal menemui peminat dunia larian dan kayuhan basikal tanahair apabila edisi sulung acara ini akan dilangsungkan pada 9 September 2017 di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA) Raub, Pahang Darul Makmur. Acara amal ini dianjurkan oleh RUNSTA, sebuah kumpulan larian yang dianggotai bekas pelajar sekolah itu dalam misi menyebarkan pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia. Acara ini turut dianjurkan bersama SimplifiJohan.

Pengerusi Jawatankuasa RUNSTA Back2SEMESTA Run & Ride Fest, Encik Mazhairul Jamaluddin berkata, acara yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan mengumpul dana bagi disalurkan kepada program pembangunan sekolah tersebut. Bak kata pepatah, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain; seiring dengan moto sekolah, ‘Ilmu, Amal, Budi’, penganjuran acara ini merupakan satu apresiasi alumni terhadap sekolah tercinta.

“Penganjuran acara ini merupakan usaha kami selaku bekas pelajar dalam menabur kembali bakti dan budi kami terhadap sekolah tercinta. Kami sedar yang gaya hidup sihat semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, maka acara larian dan kayuhan ini merupakan medium terbaik untuk bekas pelajar khususnya serta orang awam untuk menikmati keindahan daerah Raub yang satu masa dahulu menjadi tempat kami menuntut ilmu. Bukan itu sahaja, selain berpeluang menyertai aktiviti yang menyihatkan badan seperti ini, ukhwah silaturrahim antara bekas pelajar, guru, pelajar, orang awam serta penduduk kampung sekitar dapat kita jalinkan secara harmoni menerusi penganjuran acara ini”, ujar Mazhairul lagi.

Selain acara larian yang terbahagi kepada dua kategori iaitu 3KM dan 10KM serta kayuhan basikal sejauh 28KM, acara ini akan turut menampilkan pameran pendidikan dengan kerjasama beberapa badan korporat tempatan selain sesi perbincangan atau forum berkenaan kerjaya yang akan menampilkan beberapa personaliti alumni SEMESTA yang berjaya dalam bidang masing-masing. Menurutnya lagi, laluan bagi acara larian dan kayuhan ini akan membawa peserta menelusuri jalan-jalan kampung di sekitar kawasan Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah di mana mereka akan dijamu dengan pemandangan tenang nan menghijau di samping menikmati suasana damai daerah Raub yang begitu permai. Lebih menarik lagi, dikhabarkan beberapa selebriti dan personaliti TV tanahair akan turut sama menyertai acara amal ini.

Sebahagian daripada bayaran penyertaan acara ini akan disumbangkan kepada pihak sekolah dalam usaha membangunkan kemudahan dan program pendidikan sekolah. Setiap penyertaan melayakkan anda mendapat sehelai tshirt Ultron, sebuah medal serta sijil penyertaan. Pemenang kategori 10KM juga berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai. Sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik akan turut diadakan. Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan acara ini, anda boleh mengunjungi laman Facebook rasmi menerusi https://www.facebook.com/runstaback2semesta/

Bagi yang berminat merasai pengalaman kayuhan dan larian di daerah Raub ini, anda boleh membuat pendaftaran menerusi laman sesawang berikut:

http://www.racexasia.com/event/runsta-back2semesta-run-ride-festival-2017/

Acara ini mendapat tajaan Putrajaya Perdana Berhad sebagai penaja utama dan PROTON Holdings Berhad selaku penaja kenderaan rasmi. Ultron pula bertindak sebagai penaja pakaian rasmi acara. RUNSTA Back2SEMESTA Run & Ride Fest 2017 dianjurkan sepenuhnya RUNSTA bersama SimplifiJohan selain mendapat kerjasama ASTA, iaitu persatuan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub.

 

Check Also

KL Tower Towerthon Feature

KL TOWER INTERNATIONAL TOWERTHON CHALLENGE 2017

Share this on WhatsApp Acara ‘KL Tower International Towerthon Challenge’ kembali lagi buat kali ke-16 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *