Home / Berita Terkini / Peranan Pejabat Pesuruhjaya Sukan adalah untuk mengawal

Peranan Pejabat Pesuruhjaya Sukan adalah untuk mengawal

zaiton othman

Peranan utama Pejabat Pesuruhjaya Sukan ialah untuk mengawal, bukannya untuk menguatkuasakan undang-undang, kata Pesuruhjaya Sukan Malaysia Datuk Zaiton Othman.

Zaiton berkata perlu diingat bahawa semangat Akta Pembangunan Sukan 1997 adalah untuk menggalakkan pembangunan sukan di dalam negara ini, dan ia tidak bersifat menghukum dalam mengambil tindakan, sebagaimana dinyatakan dengan jelas dalam akta itu.

Merujuk kepada insiden terkini Klang City International Marathon pada Ahad lepas yang mencederakan tiga peserta, Zaiton berkata adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 36 akta itu, organisasi yang menganjurkan aktiviti sukan perlu memohon lesen daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan sebelum acara berlangsung.

“Kami mempunyai mekanisme yang bersifat dwifungsi, satu daripadanya bersifat pencegahan dan satu lagi ialah pembetulan, Dengan adanya akta ini, kami menyaksikan acara dan aktiviti sukan berkembang di seluruh negara, terdapat beribu acara yang berlangsung di seluruh negara setiap tahun, dan pencapaian sukan berprestasi tinggi kebanyakannya sudah meningkat.

“Fungsi Pejabat Pesuruhjaya Sukan ialah menerima permohonan ini dan akan memastikan pemohon mematuhi dengan satu senarai semak permit-permit lain, sebagaimana yang disediakan dalam laman sesawang kami (pps.kbs.gov.my) . Kelulusan ini penting… kemalangan terkini di Klang menunjukkan kepentingan acara seperti itu dilesenkan,

“Seksyen 34 Akta Pembangunan Sukan, kelulusan (di bawah seksyen) ini memastikan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan bagi peserta, pegawai dan penonton, standard dan kelayakan untuk kesemua peserta dan pegawai selain daripada memastikan perkara ini selari dengan peraturan dan garis panduan yang diiktiraf kesemua badan kawalan dan urus tadbir antarabangsa sukan dalam semua perkara,” kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, Pejabat Pesuruhjaya Sukan tidak boleh dijangka mempunyai kepakaran teknikal untuk menilai kesemua 50 sukan yang termasuk di dalam akta ini, sementara Kementerian Belia dan Sukan tidak boleh campur tangan dalam standard teknikal dan peraturan antarabangsa, memandangkan persatuan sukan kebangsaan tertakluk kepada persekutuan antarabangsa, seperti FIFA.

Sementara itu, Zaiton menggesa orang ramai melaporkan acara yang tidak mendapat kelulusan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk membantunya mengenal pasti penganjur yang menyeleweng, yang hanya mahu membuat keuntungan segera tetapi mengabaikan keselamatan dan kesihatan juga standard serta kelayakan kesemua peserta.

“Senarai acara sukan yang mendapat kelulusan terdapat dalam laman sesawang kementerian, www.kbs.gov.my dan akan dikemaskinikan dengan tetap. Pejabat Pesuruhjaya Sukan telah mengadakan rundingan lanjut dengan pelbagai pihak berkepentingan sejak 2014 bagi meminda Akta Pembangunan Sukan supaya sejajar dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

“Ia termasuk Panel Penasihat Sukan, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, persatuan sukan kebangsaan, agensi kerajaan tempatan, penganjur acara utama, dan agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.

Zaiton berkata dengan pindaan baharu akta itu yang dalam proses, hukuman bagi penganjur yang ingkar akan menjadi lebih berat.

“Penalti untuk syarikat yang melanggar Akta Pembangunan Sukan juga akan dinaikkan dari RM5,000 kepada RM500,000 dengan pindaan ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Check Also

Lari Sambil Beramal dengan AXA HEARTS IN ACTION RUN KE-4

Share this on WhatsApp Bagi empat tahun berturut-turut, AAGI akan menganjurkan AXA Hearts in Action …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.