Home / Berita Terkini / Kenyataan Media: Rekod Kebangsaan yang Dicatatkan Oleh TAN HUONG LEONG di TOKYO MARATHON 2018

Kenyataan Media: Rekod Kebangsaan yang Dicatatkan Oleh TAN HUONG LEONG di TOKYO MARATHON 2018

leo tan 2

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN/KOM bagi sukan Olahraga pada 26/2/2018 telah membincangkan tentang catatan rekod kebangsaan yang telah dilakukan oleh Tan Huong Leong semasa menyertai Tokyo Marathon 2018 pada 25 Februari 2018 lalu. Kejohanan tersebut adalah merupakan salah satu kejohanan Marathon yang diiktiraf oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

YB Brig Jen Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan turut terpanggil melahirkan keperihatinan beliau supaya kemelut tersebut perlu diselesaikan segera supaya pencapaian atlet-atlet negara sentiasa mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Secara dasarnya, melalui perbincangan bersama Presiden KOM, Dato Karim Ibrahim bahawa kita amat berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai oleh Tan Huong Leong dan catatan beliau 2:25.32 telah mengatasi rekod kebangsaan milik beliau sendiri dengan catatan 2:28.19 yang dilakukan di Tokyo Marathon 2017 pada 26 Februari 2017.

Sebelum itu, catatan rekod kebangsaan adalah menerusi 2:28.36 yang dipegang oleh Woo Chan Yew yang dicatatkan di Montreal, Kanada pada 5 September 2010 sebelum dipecahkan oleh Tan pada tahun 2017 dan sekali lagi dipecahkan oleh beliau pada kejohanan yang sama Tokyo Marathon 2018.

Walau bagaimanapun, Tan Huong Leong perlu mengemukakan surat berserta dengan dokumen atau catatan keputusan rasmi dari pihak penganjur Tokyo Marathon untuk pengesahan catatan masa yang telah dilakukannya di Tokyo kepada pihak KOM.

Pengurusan Majlis telah membuat semakan tentang peraturan IAAF khususnya mengenai pengiktirafan rekod-rekod kejohanan dan dinyatakan bahawa sebarang rekod kejohanan anjuran IAAF khususnya yang melibatkan rekod-rekod dunia sahaja diwajibkan ujian doping dilakukan selepas perlumbaan sebagai syarat tambahan pengiktirafan sesuatu rekod dunia telah dipecahkan dalam kejohanan rasmi tersebut.

Bagi sebarang catatan yang melibatkan rekod- rekod lain seperti rekod kebangsaan, negara anggota IAAF adalah tertakluk kepada prosedur negara masing-masing. Kebiasaannya, sesuatu catatan rekod hanya boleh diiktiraf dalam kejohanan yang mendapat pengiktirafan IAAF atau ahli gabungannya dan dikendalikan mengikut prosedur teknikal IAAF.

Perbincangan Majlis dengan Pengerusi Jawatankuasa Statistik KOM turut bersetuju bahawa pengiktirafan rekod kebangsaan adalah di bawah tanggungjawab KOM.

Sehubungan itu, adalah wajar catatan yang dilakukan oleh Tan Huong Leong iaitu 2:25.32 semasa di Tokyo Marathon boleh diiktiraf sebagai rekod kebangsaan yang baru dan usaha Tan Huong Leong untuk menjalani ujian doping (tetapi telah ditolak oleh pihak penganjur) supaya catatan beliau diiktiraf sebagai rekod kebangsaan adalah wajar diberi pertimbangan oleh KOM.

Walau apa pun, sekiranya mana-mana atlet yang mencatat sesuatu rekod kebangsaan tetapi terbukti menyalahi peraturan berkaitan dengan doping, catatan rekod mereka tetap akan dibatalkan.

Namun demikian, pencapaian Tan di Tokyo Marathon tersebut membuahkan hasil apabila Jawatankuasa Kerja MSN/KOM bersetuju memilih Tan Huong Leong untuk dimasukkan dalam Program Kita Juara bagi persediaan menghadapi Sukan SEA 2019 menjadikan dua (2) atlet marathon akan terlibat dalam Program Kita Juara tersebut iaitu beliau bersama Muhaizar Mohamad (pemenang pingat Gangsa SG KL 2017).

Dato’ Ahmad Shapawi Ismail
Ketua Pengarah
Majlis Sukan Negara
2 Mac 2018

Sumber foto: IG Garmin Malaysia

Check Also

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

NAT GEO Earth Day Run Tingkat Kesedaran Pencemaran Plastik

Share this on WhatsApp Kota Kemuning, 22 April 2018 – National Geographic (Nat Geo) telah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *