Home / Artikel Menarik / Apa Kata Pelari? / Boleh teruskan dengan berlari di bulan Ramadan?

Boleh teruskan dengan berlari di bulan Ramadan?

BERLARI DI BULAN PUASA (2)Bagi umat Islam, kedatangan bulan Ramadan adalah sesuatu yang paling dinanti-nantikan kerana ia penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Ramai yang mengambil kesempatan untuk menumpukan kepada aktiviti-aktiviti kerohanian dan berehat seketika daripada melakukan aktiviti luar dan lasak.

Bagaimana pula pelari-pelari menghadapi cabaran di bulan puasa? Adakah aktiviti larian diteruskan? Apa perbezaannya dengan jadual berlari di bulan puasa berbanding dengan hari-hari biasa? Mari kita ikuti apa kata pelari.

01- Amelia Musa

Amelia Musa, Pelari jarak jauh PDRM

“Bagi saya tiada bezanya latihan berlari di bulan puasa dan hari-hari biasa. Bezanya, kita kena bertahan lapar dan dahaga untuk setengah hari sahaja kerana pada waktu pagi, kita tidaklah lapar atau dahaga sangat sebab sudah bersahur. Petang teruk sedikit tetapi saya rasa latihan di waktu petang bagus untuk menguji kekuatan mental dan fizikal seseorang atlet. Sebelah malamnya, saya banyak mengambil makanan yang berkarbohidrat dan minum air secukupnya.”

02- Arman Arshad

Arman Arshad, Pengasas bersama Team Pacat

“Sebenarnya aktiviti senaman di bulan puasa sama seperti hari-hati biasa. Bezanya cuma masa aktiviti tersebut diubah selepas pukul 7 petang. Jarak larian harian dikekalkan dalam 3-5km pada waktu petang (easy run) atau selepas Terawih (tempo). Saya lebihkan meminum air dan mengambil buah kurma. Pada hujung minggu pula, saya lakukan larian trail, sekitar 10-15km. Aktiviti gym dihentikan di bulan Ramadan kecuali HIIT seminggu sekali.”

03- Eliza Noordin

Eliza Nordin, Pengasas Nashata.com 

“Sasaran saya adalah tiga kali seminggu – dua di hujung minggu dan satu di hari biasa. Di bulan Ramadan, saya berlari selepas solat Terawih selepas jam 11 malam. Jika saya terlalu penat, saya akan berlari seawal jam tiga pagi ditemani oleh suami saya. Tentang pemakanan pula, saya mengamalkan diet ala Ramadan pada hari-hari biasa iaitu bersarapan di waktu Subuh. Selepas sarapan. saya jarang mengambil makanan kecuali minuman sehinggalah makan malam pada waktu senja. Saya gemar mengambil buah-buahan dan jus di bulan Ramadan.”

04- Jaydee Mohamad

Jaydee Mohamad, Wartawan Berita Harian 

“Kebiasaanya berlari di bulan puasa tak salah, cuma kelajuannya akan berkurangan daripada hari biasa. Bersenam di bulan puasa juga tak salah tetapi sebaiknya dilakukan tidak seaktif hari di bulan lain. Saya pernah berlari setengah hingga satu jam sebelum berbuka. Brisk walking juga boleh dipraktiskan kerana tenaga yang digunakan tidak terlalu membebankan mereka yang berpuasa.”

05- Marlina Ibrahim

Marlina Ibrahim, Blogger/ Pelari Ultramarathon 

“Berlari semasa berpuasa tidak jadi masalah. Cuma pelari perlu peka dengan keadaan badan sendiri. Saya kurangkan intensiti semasa berpuasa. Yang penting, kemahuan, displin dan usaha. Tiada perbezaan besar tentang pemakanan. Saya berlari di waktu petang, sebelum berbuka puasa di gym semasa hari bekerja. Di hujung minggu pula, saya lebih selesa berlari di waktu malam, selepas pukul 10 malam atau sebelum tamatnya waktu sahur.”

06- Mohd Azmi

Mohd Azmi, Blogger / Marathon Maniac

“Pada saya, berlari di bulan puasa dan bulan biasa adalah sama, cuma waktu sedikit berbeza. Bagi saya, pelan larian diubah-suaikan sedikit dari rutin. Contohnya, selalunya berlari selepas waktu kerja (petang), tetapi di bulan puasa, saya memilih untuk berlari selepas solat Terawih. Di mana, pada masa itu, badan lebih segar dan perut sudah diisi. Kebiasaannya di bulan puasa, saya lebih selesa berlari santai sekitar 5km – 10km. Saya memilih lebih banyak makanan karbohidrat (seperti nasi), semasa berbuka.”

07- Rashid

Rashid Mat Rani, Kapten Gerakan Berlari Ultron 5F

“Berlari di bulan puasa lebih penat sebab kurang makan/minum. Tumpuan utama pada bulan puasa ialah memperbanyakkan ibadat, jadi Intensiti larian dikurangkan. Lebih banyak buat easy run daripada speed training. Pilihan waktu latihan bagi saya ialah sebelum berbuka pada hari kerja dan waktu malam pada hujung minggu. Long run dilakukan pada waktu malam pada hujung minggu selepas terawih.”

08- Razif Yahya

Razif Yahya, Duta Salomon Malaysia 

“Tiada beza berlari bulan puasa dengan bulan biasa. Cuma lari pada belah malam. Sejak 2013 saya akan berlari selepas solat Terawih, bermula jam 10 malam di Putrajaya. Jaraknya di antara 10-21km. Kadang-kadang saya akan berlari di waktu pagi sebelum waktu sahur sekitar 10km sahaja. Banyakkan minum air selepas waktu berbuka puasa dan makan buah-buahan yang mempunyai kandungan air tinggi seperti tembikai dan sebagainya.”

09- Rozmi Yunus

Rozmi Yunus, Juru Foto Action Pix Malaysia 

“Tahun ni saya terpaksa teruskan latihan seperti biasa memandangkan telah bersetuju jadi pacer 3:30 untuk Standard Chartered KL Marathon 2016. Tugas yang agak berat, memandangkan saya kena berlari untuk bawa orang lain, bukannya untuk diri sendiri. Jadual latihan dilangsungkan seperti biasa di awal pagi, sekitar 30-40 minit dalam pace sederhana pada hari biasa dan 10-15km LSD pada hujung minggu. ”

10- Shaharudin Hashim

Shaharudin Hashim, Jurulatih Nike

“Di bulan puasa, saya membuat latihan berlari sebelum berbuka. Minggu pertama tu agak penat sedikit, tapi masuk minggu kedua dah OK. Saya bersahur seperti biasa, yang penting mesti ada nasi untuk memberi tenaga seharian. Untuk berbuka, saya mengambil buah kurma dahulu dan diikuti dengan buah-buahan dengan kuantiti sedikit. Nak “loading” tu masa sahur.”

Apakah rutin larian anda di bulan Ramadan? Kongsikan tips di ruangan komen di bawah.

Check Also

New Balance Fresh Foam X 1080v12 – Selesa & Berkusyen Maksimum

Share this on WhatsApp Kasut lari New Balance Fresh Foam X 1080 kini kembali dengan …

One comment

  1. Aziz bin mohamed

    Dari saya pelari warga mas ni berlatih pada bulan ramadan saya suka lakukan selepas solat suboh tiap2 pagi jarak larian 7ke 8 km masa ditetapkam 36 minit tampa gagal waktu cuti pada hari Ahad sahaja cuma pandangan tak sama orang2 muda

Leave a Reply to Aziz bin mohamed Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

error: Content is protected !!